Monday, 5 February 2018

Seuntai Kata Segunung Harapan Daripada Penolong Kanan PPKI SMKMM Yang baru - En Ahmad Shuib Bin Musa





Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh. Salam Sejahtera semua pembaca blog.
Bersyukur saya ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia serta izinNya, kita dapat meneruskan khidmat bakti di sekolah tercinta ini.  Saya mengucapkan Selamat Maju jaya kepada semua warga sekolah dan terutama murid PPKI SMK Mak Mandin. Kepada warga pendidik khususnya, kegemilangan dan kejayaan terus menerangi kehidupan kita semua yang mempunyai amanah besar untuk meningkatkan akses pendidikan berkualiti di sekolah kita. Marilah kita memperbaharui tekad dan menyuntik semangat baru dalam melonjakkan kecemerlangan SMK Mak Mandin pada tahun 2018 dan tahun – tahun yang mendatang.
Sesungguhnya, sekolah adalah nadi utama dalam usaha membangunkan modal insan yang memacu kemajuan negara pada masa hadapan.  Matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju amat bergantung kepada keupayaan warga sekolah terutamanya para pendidik yan berpengetahuan kelas pertama , berketrampilan  dan berdaya saing yang sihat bagi melakar pembangunan modal insan dalam kalangan pelajar SMK Mak Mandin berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Wawasan 2020. Para pendidik harus mempunyai hala tuju yang jelas dan mengutamakan aktiviti peningkatan profesionalisme agar mampu memberi impak yang tinggi terhadap kecemerlangan anak didik yang dikasihi dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah. Dalam menghadapi persaingan pada peringkat global kejayaan sesebuah sekolah amat bergantung pada pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang dimiliki oleh warga sekolah. Oleh itu, setiap warga pendidik perlu meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran serta melipatgandakan usaha bagi melahirkan modal insan yang berilmu, kreatif dan inovatif untuk mengisi keperluan masa kini dan masa hadapan.  Usaha murni yang berterusan oleh warga pendidik dalam melahirkan modal insan yang dihasratkan akan berupaya meningkatkan daya saing negara, melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan sekaligus menjadikan negara sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi.
Bagi memastikan kelangsungan pembangunan pendidikan , Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013 – 2025) dilaksanakan.   Pelan ini melakarkan visi sistem pendidikan dan murid yang memenuhi keperluan negara pada masa hadapan. Pelan ini berhasrat mencapai 5 keberhasilan teras pendidikan bagi menentukan kejayaan sistem pendidikan. Lima aspirasi sistem pendidikan Malaysia ialah akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. Justeru, PPPM juga telah menyusun transformasi yang dilaksanakan dalam tiga gelombang. Gelombang pertama memberi sokongan kepada para pendidik, gelombang kedua mempercepat peningkatan kemajuan sistem, dan gelombang 3 ialah beranjak ke arah kecemerlangan dengan peningkatan keluwesan operasi. Oleh itu, sebagai pendidik kita hendaklah menerima transformasi ini dengan minda  yang terbuka dan melaksanakannya bagi mencapai visi yang dihasratkan.
Pengajaran yang berkesan melibatkan proses memindahkan ilmu oleh guru di samping memperkembang potensi pelajar. Bagi pelajar, pembelajaran merupakan suatu proses mengumpul maklumat dan pengalaman secara berterusan.  Dalam hal ini pengintegrasian ICT dalam P&P memberi kesan berganda kepada pelajar-pelajar bagi melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif.  E-mail, e-pembelajaran, sidang video dan pelbagai inovasi teknologi membolehkan pelajar mendapat maklumat dalam masa yang singkat. Dalam era globalisasi, warga sekolah perlu melengkapkan diri dengan maklumat terkini supaya dapat  bertindak balas terhadap pembangunan teknologi baru.
Saya juga berharap supaya dapat merealisasikan kepimpinan instruksional yang berkesan di sekolah ini dengan melaksanakan perancangan strategik secara menyeluruh, pengurusan kurikulum yang sempurna, menjalankan sistem penilaian dan pentaksiran yang konstruktif serta membudayakan perkembangan profesionalisme secara berterusan. Melalui program dan aktiviti yang dilaksanakan sepanjang tahun diharapkan PPKI SMK Mak Mandin berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan sekolah – sekolah yang cemerlang yang lain.
 Kejayaan mengamalkan budaya kerja cemerlang bukan sahaja dapat melahirkan golongan pendidik dan pelajar yang berdedikasi tetapi juga memberi impak yang besar kepada ‘output’ dan ‘outcome’ hasil daripada amalan budaya tersebut. Seluruh warga sekolah mengamalkan Budaya Kerja Kelas Pertama dengan mengamalkan 7 prinsip utama iaitu pantas dan positif, empati, relevan, daya saing, amanah, adil dan integriti, nilai tambah dan kelainan serta arif dan berilmu. Diharapkan generasi yang dihasilkan kelak adalah golongan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi merangkumi semua  aspek kehidupan sebagaimana Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual.

Akhir kata,  setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak dan warga sekolah serta individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memberikan  sumbangan  kepada saya . Segala usaha murni ini perlu  diteruskan lagi agar mencapai kejayaan yang lebih cemerlang seterusnya dapat menyumbang bakti pula kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat hendaklah dijadikan amalan dalam merealisasikan budaya kerja cemerlang. Semoga segala tugas yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan jayanya dan dirahmati Allah.

“TUGAS ITU AMANAH, KERJA ITU IBADAH”

Sekian, terima kasih.
Encik Ahmad Shuib Bin Musa
Penolong Kanan Pendidikan Khas SMKMM

No comments:

Post a Comment