Pasti ramai antara kita masih ingat akan kedatangan van klinik pergigian ke sekolah dan jururawat beruniform putih mengangkut kerusi pergigian mudah alih ke bilik rawatan yang diperuntukkan. Tidak lama kemudian, salah satu jururawat tersebut akan muncul di kelas, memanggil satu persatu ke bilik rawatan untuk pemeriksaan gigi.
Berapa ramai yang pernah berpura-pura perlu ke tandas ketika itu?
Dari perspektif sejarah, khidmat pergigian kerajaan bermula sebagai perkhidmatan pergigian sekolah tidak lama selepas kemerdekaan. Perkhidmatan pergigian kerajaan hari ini telah berkembang merangkumi julat yang lebih luas merangkumi kanak-kanak pra-sekolah, ibu-ibu mengandung, kanak-kanak berkeperluan khas, orang dewasa, dan orang-orang tua. Perkhidmatan pergigian kerajaan di sekolah dicontohi daripada School Dental Service (SDS) di New Zealand yang diasaskan pada tahun 1921.
SDS dijadikan percuma pada tahun 1945 setelah Jabatan Kesihatan mula membayar balik klinik-klinik pergigian sekolah untuk perbelanjaan operasi mereka. Model SDS yang unik telah diikuti oleh negara-negara lain termasuk Malaysia, Hong Kong, Australia, dan hingga ke takat tertentu, United Kingdom.
Mengapakah program pergigian sekolah penting? Bak pepatah Melayu “melentur buluh biarlah dari rebungnya.”
Program pergigian sekolah bertujuan untuk mencapai dan mengekalkan kesihatan mulut optimum dikalangan murid-murid, dan menggalakkan mereka mengambil tanggungjawab untuk kesihatan mulut sendiri. Program ini menyediakan mekanisma sempurna untuk menjalankan inisiatif pencegahan klinikal awal pada kanak-kanak sekolah, dan mendidik mereka dengan pengetahuan yang cukup untuk menyemai amalan penjagaan mulut pada peringkat awal hidup mereka. Sekolah-sekolah juga disediakan dengan kurikulum pendidikan kesihatan untuk meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mulut di luar persekitaran klinik pergigian.
Rawatan yang disediakan oleh program pergigian sekolah merangkumi penskaleran (scaling), inisiatif pencegahan klinikal dan rawatan pemulihan asas, dan juga pendidikan kesihatan. Menerusi syarahan atau program ceramah, kanak-kanak sekolah akan dilengkapi pengetahuan penting untuk menjaga kebersihan mulut masing-masing di luar klinik pergigian. Harapannya adalah untuk menyemai amalan penjagaan kebersihan mulut yang berterusan sepanjang hayat. Murid-murid sekolah juga diajar secara amali kaedah memberus gigi menerusi Latihan Memberus Gigi (LMG). LMG boleh dijalankan di sekolah setiap hari atau secara mingguan tanpa penyeliaan pegawai kesihatan mulut sebagai sebahagian dari program kesedaran kesihatan.
Perkhidmatan pergigian sekolah juga menyediakan mekanisma efisien untuk inisiatif pencegahan klinikal. Selepas sesi pemeriksaan awal dan diagnosis, sekiranya kanak-kanak tersebut ditentukan berisiko tinggi untuk karies gigi (misalnya terdapat karies pada gigi atau rekahan dalam pada gigi), langkah-langkah pencegahan seperti pengapan fisur boleh dilakukan awal. Pengapan fisur ialah prosedur untuk menampal liang dan rekahan dalam pada gigi yang berkemungkinan untuk memerangkap plak gigi dan seterusnya berlaku karies gigi. Selama pengapan kekal dalam keadaan baik pada gigi, kemungkinan mendapat karies gigi dikurangkan.
Tambahan pula, perkhidmatan pergigian sekolah memberi peluang untuk rawatan pemintasan awal. Lebih awal rawatan dimulakan, lebih baik prognosis untuk pesakit. Contohnya, karies gigi yang dijumpai awal dan dirawat boleh menyelamatkan gigi sepanjang hayat apabila disertai penjagaan kebersihan mulut yang betul. Walaupun perkhidmatan utama kesihatan mulut di sekolah terdiri daripada pegawai-pegawai pergigian dan jururawat yang mengendalikan rawatan pergigian asas, kes-kes kompleks dirujuk kepada doktor pakar untuk tindakan lanjut.
Rujukan kes-kes kompleks seperti rawatan ortodontik (pendakap gigi) adalah lebih mudah hari ini dengan adanya lebih ramai doktor pakar diseluruh negara.
Kesimpulannya, program pergigian sekolah telah membawa peningkatan besar dalam memperbaik penjagaan kesihatan mulut dikalangan kanak-kanak sekolah di Malaysia. Dengan penubuhan klinik-klinik pergigian sekolah dan inisiatif-inisiatif lain, lebih ramai murid-murid mendapat manfaat daripada rawatan awal oleh pegawai kesihatan mulut. Dengan lebih ramai murid-murid ke sekolah dan sumber yang terhad, program kesihatan mulut di sekolah adalah salah satu cara paling kos efektif untuk menggalakkan amalan penjagaan mulut yang baik sepanjang hayat. Tindakan sistematik di setiap peringkat diperlukan agar anak-anak muda mempunyai kesihatan mulut yang baik dan berkemampuan untuk mengekalkan kualiti hidup sepanjang hayat.
Senyuman untuk saudaramu adalah sedekah :))
Jumpa lagi. In Sya Allah
No comments:
Post a Comment